Saturday, June 29, 2019

Perkongsian ayat 224, surah Al Baqarah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Perkongsian dari maqrok 14, surah al Baqarah, ayat 219 - 232 (Jurnal al Quran).



Terkesan dengan ayat ini. Dan rupa-rupanya ayat ini harus dilihat bersama-sama dengan ayat 225, kerana kedua-duanya berkenaan sumpah.  Tafsir untuk ayat 225 adalah seperti di bawah:
"Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi ia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah).  Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyabar."

Masa mula-mula melihat ayat ini saya kurang faham apa maksudnya. Saya tahu ianya mengenai sumpah tetapi apa maksudnya sumpah itu menjadi benteng yang menghalangi daripada berbuat baik dan bertakwa.

Saya mendengar penjelasan daripada Ustaz Nouman Ali Khan mengenai kedua ayat ini. 

Menurut beliau, dalam ayat 224, Allah melarang kita menggunakan nama Allah dalam perkara yang terlalu serius sehingga menghalang kita dari melakukan 3 perkara iaitu:

  1. Menghalang kita berbuat baik - contoh: bila kita terlalu marah dengan seseorang kerana perbuatannya yang menyakiti hati kita, maka kita pun berkata "Demi Allah! Aku tak akan tolong dia lagi sampai mati".  Menolong orang itu adalah perbuatan yang baik. Maka, bila kita marah dan tidak mahu berbuat baik lagi, kita bersumpah dengan nama Allah, itu adalah ditegah.
  2. Menghalang kita dari bertaqwa - taqwa mengikut kata ustaz Nouman adalah kebaikan yang kita lakukan atas diri sendiri. Contoh: "Demi Allah, aku tak akan pergi solat di masjid itu lagi sebab perangai jemaahnya sangat teruk" (ini contoh aje ye). Ini juga ditegah. Jangan guna nama Allah untuk ini.
  3. Menghalang kita daripada mendamaikan perbalahan antara sesama manusia - apabila dua orang bergaduh, contoh suami isteri. Kita jadi orang yang mendengar dan berada di tengah-tengah. Dan kita pun berkata "Demi Allah! Aku tidak memihak mana-mana pihak dan aku tak mau campurtangan urusan kamu berdua."  Kalau ya pun tak nak campurtangan, tak perlulah bersumpah atas nama Allah. 

Tetapi, sebagai hamba Allah, semestinya lah kita bersumpah demi Allah dan bukan demi benda lain. Kita tak boleh kata "Demi masa". Itu bukan hak kita. Hanya Allah yang boleh lakukan itu.
Maka, itulah maksud ayat 225 pula iaitu tidak salah guna nama Allah atas perkara yang tidak serius.

Sebenarnya ini adalah kerana perangai orang Arab suka berkata Wallahi atas setiap perkara. Jadi, Allah tidak akan menghukum jika ianya tidak serius. Kecuali, memang kita betul-betul maksudkannya iaitu kita serius dan niatkannya betul-betul.

Dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Mendengar - ada masanya kita boleh kata "Tak, saya tak kata pun." tetapi Allah dengar.
Dan Allah Maha Mengetahui - bila kita kata "Saya tak berniat pun seperti itu", Allah lebih tahu.

Maka, 2 ayat ini adalah satu ingatan kepada kita supaya berhati-hati jika ingin menggunakan nama Allah dalam bersumpah.

Yang lagi menariknya, 2 ayat ni terselit antara perkisahan tentang suami isteri dan cerai serta pernikahan. Ini menunjukkan dalam urusan pernikahan, urusan rumah tangga, urusan cerai berai, pasti akan ada kes yang terlalu serius sehinggakan seseorang itu bersumpah. Allah sudah tahu dan Allah ingin memberitahu kita juga. Maka, sentiasalah berhati-hati.

Wallahuallam.

No comments:

Post a Comment