Monday, June 17, 2019

DUGAAN SALAH SATU JALAN KE SYURGA




Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Apps Al-Quran
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Alhamdulillah.
Assalamualaikum. Bismillahirrahmanirrahim. Semoga Allah permudahkan untuk menulis entri ini sebaik yang mungkin. Jujur diri ini bukanlah pandai mana dalam membaca kalam Allah ini. Membaca setiap kalimah Allah ini pun masih merangkak-rangkak lagi. Jika ada silap dimana-mana, mohon kemaafan dan janganlah segan untuk menegur diri yang terlalu banyak dosa ini.

Menyiapkan tugasan setiap hari dari group cycle bidadari ini dengan berpandukan ayat-ayat suci dari surah Al-Baqarah 2, ayat 203 sehinggalah ayat 218.
Ketika membaca terjemahannya, hati tertarik dengan ayat 214 dari surah Al-Baqarah ini.
Ayat yang menerangkan bahawa sebagai hamba Allah dilarang sama sekali untuk merasa terlalu yakin bahawa diri akan masuk terus ke syurga tanpa diuji oleh Allah terlebih dahulu.

Sebagai seorang hamba Allah pasti Allah akan menduga setiap hambanya dengan pelbagai dugaan. Mungkin Allah akan menduga hambanya dengan kesakitan, kekecewaan, kemiskinan , keruntuhan rumahtangga dan bermacam dugaan dugaan lagi.

Terus teringat kepada diri sendiri yang telah mengharungi pelbagai ujian dalam kehidupan.
Pemergian bonda yang tercinta dan kembalinya arwah anak tersayang asbab satu penyakit kronik juga musnahnya mahligai impian.
Secara jujur saat musibah datang bertandang dalam kehidupan ini, kehidupan terasa amat sempit dan terasa bagaikan satu bebanan yang amat berat.

Mulalah diri menyoal balik kepada Allah, kenapa Allah kurniakan semua dugaan-dugaan tersebut. Setelah beberapa ketika barulah tersedar bahawa setiap dugaan yang Allah anugerahkan itu terselit satu hikmah yang maha besar.
Contohnya, Allah gantikan bonda tercinta dengan arwah ibu mertua yang sangat baik dan memahami juga Allah anugerahkan dua orang cahayamata lelaki dan juga perempuan sebagai penganti arwah anak sulung yang tersayang.

Semua itu adalah hikmah yang tersembunyi disebalik semua ujian tersebut.
Dalam ayat 214 juga ada menyarankan kepada setiap hamba Allah yang sedang diuji akan senantiasa bersabar dan jangan sesekali berputus asa berdoa terus kepada Allah yang maha esa.
Allah yang turunkan ujian maka sudah pastilah ada rahmat disebalik semua dugaan tersebut. Apa yang perlu kita lakukan ketika sedang ditimpa musibah hanyalah bersabar, yakin dan lebih dekatkan diri kepada Allah.

Hinggalah satu saat, kita tak sangka sudah melepasi semua dugaan tersebut dan sudah pun merasai akan hikmahnya dari semua musibah yang telah kita harungi itu.
Insyaallah ayat 214 ini juga sebagai satu peringatan kepada diri agar senantiasa memastikan diri tak sedih dan yakin Allah selalu berada disisi biar apa pun yang terjadi kepada diri ini.
Harapannya dengan segala ujian atau musibah yang telah diharungi itu bolehlah dijadikan sebagai salah satu tiket untuk syurga abadi disana nanti.


Sekian
Sariah Awang Senik


No comments:

Post a Comment