Friday, July 5, 2019

SURAH AN NISA, AYAT 1

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Apps Al Quran
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Bismillahirrahmanirrahim.
Ya Allah kau kurniakanlah ilham untuk aku terjemahkan ayat 1 surah An Nisa mengikut kefahaman aku sendiri.
Semoga Allah permudahkan segalanya.
Aamiin Ya Allah.

Patutnya saya lebih istiqamah dalam usaha-usaha untuk memahami setiap ayat dalam surah-surah Al Quran. Jika dihayati dan faham secara terperinci banyak manfaat yang kita boleh dapat dari setiap surah dalam Al Quran ini.
Dan yang penting Al Quran adalah satu rujukan bagi segala masalah dalam apa jua permasalahan di dunia ini.

Baiklah, dari apa yang saya faham melalui ayat 1 surah An Nisa ini jelaslah segala hamba Allah, tak kira lelaki ataupun perempuan adalah asbab pertemuan Adam dan Hawa.
Allah telah menjadikan Adam sebagai suami dan Hawa sebagai seorang isteri.
Maka dari pertemuan dua jiwa inilah lahirlah keturunan yang berkembang biak sebagai seorang lelaki dan juga perempuan sehinggalah ke hari ini.

Maka disebabkan dengan pertemuan yang diatur oleh Allah inilah kita wajib bertaqwa kepada Allah kerana dengan izinNyalah kita ada segalanya hari ini. Ayah, ibu, abang, kakak dan juga adik-beradik maka semua disebabkan pertemuan Adam dan Hawa ini.

Selain itu Allah juga mengalakkan umatnya supaya menjaga dengan sebaik yang mungkin hubungan silaturrahim diantara sesama umat. Biar berbeza keturunan dan warna kulit namun semuanya dibawah payung agama yang satu iaitu agama suci Islam.
Janganlah kita berpecah belah hanya disebabkan ada perbezaan dimana-mana.

Ketahuilah Allah senantiasa mengawasi segala tindak tanduk kita sebagai umatnya tak kira dalam perkara kebaikan dan juga keburukan.

Melihat daripada sisi kehidupan sendiri melalui ayat 1 surah An Nisa ini , terfikir adakah sudah faham sebenar-benarnya satu hubungan silaturrahim sesama saudara seislam.
Adakah sudah berusaha segigih yang mungkin untuk berusaha menyatukan kembali satu hubungan yang makin renggang?

Kadangkala tersalah faham sedikit, berhari lamanya mendiamkan diri dan bermasam muka sesama rakan sendiri.
Semoga Allah melindungi hati ini dari terus terpengaruh dengan segala bisikan syaitan.
Ingatlah tak kira perkara kebaikan atau keburukan , Allah senantiasa mengawasi hamba-hambanya.

Biar apa pun dosa yang telah dilakukan oleh umatnya Allah tetap jua memaafkan hambanya.
Inikan pula hubungan silaturrahim antara satu sama yang lain.
Ya Allah ampunkan segala dosa-dosa kami dan seluruh umat Muhammad ini.


Sekian
Sariah Awang Senik

No comments:

Post a Comment