Monday, June 24, 2019

Perkongsian ayat 200, surah Al Baqarah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Perkongsian dari maqrok 12, surah al Baqarah, ayat 189-202 (Jurnal al Quran).



Ayat 200 - berkisah mengenai zikrullah. Menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya).

Sejak dua menjak ni saya dapat banyak perkongsian berkenaan zikir kepada Allah. Kebaikan berzikir, kehebatannya, ganjaran yang diperolehi dan semua yang baik mengenai berzikir. 

Dalam surah Al Jumu'ah, ada 2 ayat yang saya ikut terkesan bila bercerita berkenaan zikir iaitu ayat 1 dan 10, yang bermaksud:
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (ayat 1)
 Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).  (ayat 10)
Betapa semua benda di dunia ni ikut berzikir, bertasbih kepada Allah. 
Dan setelah selesai solat, bertebaranlah di muka bumi iaitu pergi lah melakukan kerja-kerja kita. Tapi dalam masa yang sama, ingatlah akan Allah banyak-banyak dalam segala keadaan supaya kita berjaya di dunia dan akhirat.

How do I feel?
Sentap. Sebab sebelum ni bila orang kongsi zikir itu zikir ini, saya baca perkongsian tu sahaja tetapi tidak mengamalkannya.

Lagi sentap bila baca ayat 1 surah Al Jumu'ah tu. Semua benda boleh bertasbih kenapa aku tak mau buat? Susah ke? Saya dengar ceramah hari tu, kata ustaz tu, zikir lah satu perbuatan yang paling murah dan senang untuk kita lakukan. Sebab tak perlu keluar modal pun. Modal air liur aje dan suara (kalau nak lafaz dengan kuat). Lepas tu tak perlu pergerakan fizikal pun seperti solat atau haji. Tak susah langsung. Hadoiii. 

Pelan tindakan: sudah tentulah untuk amalkan. Setiap hari. Apa yang nak diamalkan? Banyak je zikir yang boleh kita amalkan. Yang disarankan adalah istighfar dan selawat ke atas Rasulullah SAW. Buat 1000 kali. Kalau lebih lagi bagus.
Zikir paling besar adalah kalimah La ila ha illallah. 24 jam berzikir dengan kalimah itu lagi bagus.
Zikir asmaul husna.
Memang banyak lah.

Lagi satu saya perasan, ayat 200-202, iaitu bahagian: 
 "Dalam pada itu, ada di antara manusia yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Berilah kami kebaikan di dunia. (orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat" - ayat 200

"Dan di antara mereka pula ada yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka." - ayat 201

"Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan, dan Allah amat cepat hitunganNya" - ayat 202

Perasan tak bagaimana Allah menyuruh kita berdoa secara spesifik? Kalau sebut dunia sahaja, itu lah yang kita dapat. Kalau sebut dunia dan akhirat, itu lah yang akan Allah berikan. 
Dan Allah kata, Dia amat cepat hitunganNya maksudnya bila-bila masa doa kita akan dimakbulkanNya. 

Sebab itu, bila nak minta dengan Allah, kita disuruh minta dengan jelas dan spesifik.  Kan? Allahuakbar. 


No comments:

Post a Comment