Wednesday, June 19, 2019

MENGALAKKAN TETAPI TIDAK MEMAKSA



Teks : Sariah Awang Senik
Sumber: Apps Al-Quran
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Al-Baqarah 2:233

وَٱلْوَٰلِدَٰتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَٰدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلْمَوْلُودِ لَهُۥ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِٱلْمَعْرُوفِۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَاۚ لَا تُضَآرَّ وَٰلِدَةٌۢ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَّهُۥ بِوَلَدِهِۦۚ وَعَلَى ٱلْوَارِثِ مِثْلُ ذَٰلِكَۗ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَاۗ وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوٓا۟ أَوْلَٰدَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُم مَّآ ءَاتَيْتُم بِٱلْمَعْرُوفِۗ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.

==========================================================================

Allahuakbar. Terlalu banyak dugaan hari ini.
Namun Allah jualah yang melindungi hambanya dari segala perkara yang tidak diingini.
Maka dalam setiap apa yang kita lakukan, wajiblah terlebih dahulu meminta atau memohon kepada Allah agar permudahkan segala urusan kita.

Semoga Allah senantiasa kurniakan ilham untuk terus istiqamah menulis dari ayat-ayat suci surah Al-Baqarah ini. Sejak akhir-akhir ini banyak perkara yang menyentuh lubuk hati ini.
Mungkin jua Allah sedang mengerakkan hati ini ke jalan yang sepatutnya. Allah mungkin ingin kita lebih fokus dan istiqamah dalam perkara yang berkaitan kebaikan.
Maka dengan sebab itulah Allah hadirkan ramainya insan-insan yang juga suka kepada minat yang sama iaitu menulis.

Menulis berdasarkan ayat-ayat suci Al-Quran adalah satu pengalaman yang baru dalam hidup saya. Selalunya hanya menulis melalui pengalaman kehidupan yang telah dilalui beberapa tahun yang lepas.

Alhamdulillah. Kali ini menulis hasil dari pemahaman sendiri dari surah Al-Baqarah ayat 233.
Dari ayat tersebut, Allah telah mengalakkan para ibu untuk menyusukan bayi mereka sehinggalah genap berusia dua tahun. Maka adalah menjadi satu kewajipan bagi seorang bapa untuk menyediakan segala keperluan mengikut kemampuan bapa dan juga keluarga tersebut. Itupun jika ibu dan bapa mahu sempurnakan apa yang Allah galakkan.

Apa pun dari sudut yang lain tiada paksaan sama sekali.
Semuanya terletak pada keputusan yang diambil oleh seorang ibu dan juga bapa.
Maka jikalau tak mahu laksanakan apa yang Allah suruh oleh beberapa sebab yang tak dapat dielakkan maka Allah jua tak akan menghukum ibu atau bapa tersebut.

Mengenai isu penyusunan yang Allah galakkan ini, teringat kisah suatu waktu ketika anak-anak masih bayi.
Bagaimana anak yang lelaki ada ibu susuan dan alhamdulillah dapat menyusukan anak yang bongsu sehingga genap berusia dua tahun.

Anak yang lelaki ada ibu susuan kerana waktu itu sibuk menjaga arwah kakaknya yang sedang sakit kronik. Dalam masa yang sama waktu itu saya baru habis berpantang dan kakaknya diserang demam panas. Kalau diingatkan anak yang lelaki baru sahaja belajar minum susu botol dan masih tidak berapa pandai menyusu botol.

Dengan keadaan kakaknya yang demam panas melampau saya tiada pilihan terpaksa meninggalkan si adik yang baru berumur 6 bulan dengan jiran sebelah rumah.
Kuasa Allah jiran juga dalam proces berpantang anak yang ke empat. Agak kelam kabut tapi serahkan segalanya kepada Allah yang maha esa. Dan Allah permudahkan segalanya.
Jiran pernah bercerita yang anak lelaki saya langsung tak mahu menyusu botol dan selalu menangis.

Bimbang dengan keadaan anak lelaki saya yang menangis dan tak mahu menyusu botol, terus jiran meminta izin dari suaminya untuk menyusukan anak lelaki bertuah saya ini.
Syukur sebaik sahaja menyusu dia terus terlena.

Maka sejak itulah anak lelaki saya ada ibu, ayah dan juga adik-beradik susuan. Sehingga kini hubungan mereka akrab dan saling bertanya khabar dengan emak susuan juga adik-beradik yang lain. Sejak kejadian itu dan setelah arwah kakaknya kembali ke rahmatullah, saya nekad dan berdoa jika Allah kurniakan anak yang ketiga, maka saya berimpian untuk menyusukan anak sehingga genap berumur dua tahun.

Berkat dari doa kepada Allah setiap hari, saya disahkan mengandung lagi anak yang ke tiga.
Sebaik sahaja bersalin, saya terus menyusukan anak yang ketiga ini sepenuhnya. Maka tak hairanlah anak dara yang nan seorang ini susah nak kena sakit dan demam. Kalau ada demam pun tak lama mana.

Itulah pengalaman lalu tentang penyusuan. Menyusukan anak sendiri adalah satu nikmat yang sukar digambarkan. Hubungan antara anak dan ibu menjadi semakin erat dan aura seorang ibu terhadap anaknya sangat kuat.


Sekian
Sariah Awang Senik

No comments:

Post a Comment