Tuesday, July 30, 2019

ALLAH PENCIPTA SELURUH ALAM


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Al-Quran Apps
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Al-An'am 6:96

فَالِقُ ٱلْإِصْبَاحِ وَجَعَلَ ٱلَّيْلَ سَكَنًا وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ حُسْبَانًاۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ ٱلْعَزِيزِ ٱلْعَلِيمِ

Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

Kebenaran Ayat:
📌 Allahlah yang menciptakan waktu subuh, siang dan juga malam.
📌 Dengan wujudnya waktu malam, maka pada waktu itulah kita digalakkan untuk berehat setelah penat seharian bekerja diwaktu siang.
📌 Selain Allah wujudkan waktu siang dan malam, Allah juga menciptakan matahari dan juga bulan . Dengan adanya matahari dan bulan maka senanglah umatnya untuk membuat kiraan waktu.

Thought :
📌 Dari surah Al-Anam ayat 96 ini, jelas Allah maha berkuasa ke atas alam semesta ini. Maka dari situlah terciptanya waktu siang dan juga malam.
Waktu siang kita jalankan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan. Sementara waktu malam pula masa untuk beribadah dan juga berehat.

📌 Dengan adanya matahari dan juga bulan dari situlah kita dapat tetapkan hari, bulan dan juga tahun.

Choices :
📌 Kita diberi pilihan untuk mengatur aktiviti harian sebaik yang mungkin. Dalam masa yang sama beribadah dan beramal janganlah ditinggalkan sama sekali.

Behaviour :
📌 Memastikan kita tidak sia-siakan waktu yang ada dan tidak leka. Maknanya Allah sudah jadikan waktu siang untuk bekerja keras dan waktu malam untuk beramal dan berehat. Sesibuk mana pun kita janganlah mengabaikan kewajipan kita kepada Allah yang maha esa.

Feelings :
📌 Ketika membaca surah ini teringat kepada diri sendiri yang senantiasa sibuk dan ada masa terlalai waktu bersama Allah yang maha esa.
📌 Terasa sangat berdosa dan insaf akan segala kekhilafan diri sendiri.

Affirmation :
Ya Allah Ya Rahman pencipta seluruh alam semesta ini. Semoga kau senantiasa perkukuhkan keimanan dan senantiasa wujud rasa insaf ke atas diri ini.



Sekian
Sariah Awang Senik

Saturday, July 20, 2019

Perkongsian ayat 4, surah Al Imran

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Perkongsian dari maqrok 20, surah al Baqarah, ayat 283-286, surah Al Imran,  ayat 1-14

Terkesan dengan ayat ke 4, surah Al Imran.

Kebenaran ayat:

  • Al Quran adalah petunjuk kepada umat manusia
  • Nama lain al Quran iaitu al Furqaan, memberi petunjuk dalam membezakan antara yang benar dengan yang salah
  • Orang yang kufur ingkar dengan ayat Allah akan menerima azab seksa yang berat
  • Allah Maha Berkuasa untuk memberi balasan azab seksa kepada mereka yang bersalah
Thoughts:
  • Dalam menjalani kehidupan seharian, memang sepatutnya kita umat Islam dan hamba Allah sentiasa menjadikan al Quran sebagai panduan
  • Siksa dari Allah amat berat. Sanggupkah kita menanggungnya?
Choices:
  • Tidak perlu dipertikaikan lagi, jika ada sebarang kemusykilan, terus sahaja rujuk al Quran
Behaviour:
  • Sedang mendalami ilmu al Quran. Dan sesungguhnya memang benar setiap kali ada permasalahan, ada masanya bila buka al Quran, akan ada ayat yang memberi panduan.
  • Hari tu saya pergi kursus berkenaan TRIZ, iaitu ilmu penyelesaian masalah secara inovatif.. Walaupun ia adalah ilmu dari Eropah iaitu dari orang Rusia, tetapi boleh saja diadaptasikan dan kembalikan kepada amalan kita orang Islam. Kerana itu juga ilmu Allah.  Apa yang menarik hati saya adalah apabila penceramah menyatakan bahawa, apa sahaja masalah yang ada di dunia ini boleh diselesaikan dengan merujuk kepada al Quran, kerana al Quran itu sudah cukup lengkap semuanya.
  • Kemudian, circle Bidadari ni pula ada buat eksperimen tentang tahap ketakutan kita apabila disebut tentang neraka.. Dan hasilnya memberi gambaran tentang beratnya azab yang Allah kenakan kepada mereka yang engkar. Ustaz ada cakap, cuba masuk dapur dan letak satu jari dekat api selama 1 saat atau lebih. Boleh terima? Allahuakbar. Tak sanggup nak bayangkan azab seksa itu. 
Feelings:
  • Rasa bersyukur kerana hidup kita ini sudah ada panduannya. Hanya kita yang perlu cari melalui al Quran tersebut. 
  • Rasa ngeri dan takut bila membayangkan azab dalam neraka. Tak sanggup, saya tak sanggup.
Affirmasi/Syukur/Doa:
  • Tuhan ku, aku tidak layak untuk syurgaMu, tapi aku tidak pula kuat untuk menanggung siksa nerakaMu, oleh itu kurniakanlah keampunan kepadaku, ampunkanlah dosa ku, sesungguhnya Engkau lah Maha Pengampun dosa-dosa besar, aamin ya rabbal alamiin.
Wallahuallam. 

Wednesday, July 17, 2019

BERITA GEMBRIA DAN SATU AMARAN


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Apps Al-Quran
http://www.facebook.com/sariahawangsenik



Alhamdulilah. Membaca dan memahami surah An-Nisa ayat 165 ini bagaikan pakej dua dalam satu. Mendengar khabar gembria juga mendapat satu amaran dari Allah yang maha esa bagi golongan kafir dan juga mereka yang suka melakukan perbuatan maksiat.

Kebenaran ayat:
@ Allah telah menyampaikan khabar gembria buat orang-orang yang beriman melalui rasul-rasul yang telah Allah utuskan.
@ Juga satu amaran kepada orang-orang kafir juga mereka yang suka berbuat maksiat .
@ Allah juga menyampaikan pesanan bahawa kejadian hari kiamat itu adalah benar dan bukan satu rekaan semata-mata.
@ Dan Allah maha berkuasa akan seluruh alam dan manusia diatas muka bumi ini.

Apakah yang kita faham tentang ayat ini?
Apa yang dapat difahami dari surah An-Nisa ayat 165, jelas orang-orang beriman telah Allah janjikan berita terbaik buat mereka. Selain itu ayat 165 juga merupakan satu amaran bagi golongan kafir dan juga yang suka berbuat maksiat.

Selain itu, kejadian hari kiamat adalah benar dan bukan satu kisah dongeng dan telah terbukti dalam Al-Quran dan hadis.

Sesungguhnya Allah maha berkuasa akan segala makhluk diatas muka bumi ini.

Pilihan kita untuk kita :
Berusaha bersungguh-sungguh perbaiki segala amalan untuk menjadi orang yang lebih beriman disisi Allah yang maha esa.

Mengelakkan diri dari berbuat maksiat kerana mungkin akan mendapat balasan yang amat dahsyat di akhirat kelak.

Bersiap sedia dengan amalan soleh bagi berhadapan dengan kejadian hari kiamat kelak.

Tindakan kita :
Tingkatkan segala ibadah untuk menjadi golongan yang lebih beriman dan jauhkan diri dari perbuatan yang berkaitan dengan maksiat.
Antaranya perbanyakkan zikir, selawat, membaca Al-Quran, mendirikan solat diawal waktu dan juga mengerjakan solat-solat sunat.

Semua amalan mesti dilakukan hanya kerana Allah dan takutkan hari kiamat dan Allah maha mengetahui akan segalanya.

Perasaan kita bila membaca ayat ini :
Rasa gerun mengenangkan hari kiamat yang bakal berlaku tak lama lagi.
Juga senantiasa beringat saat telah melakukan satu perkara berkaitan maksiat dan balasan di akhirat kelak.

Syukur :
Ya Allah lindungi kami dari segala perkara yang berkaitan dengan perbuatan maksiat. Ya Allah teguhkan hati kami dalam melakukan segala ibadah dengan istiqamah kerana Allah supaya dapat menempatkan diri di kalangan orang-orang yang beriman.


Sekian
Sariah Awang Senik


Perkongsian ayat 276, surah Al Baqarah.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Perkongsian dari maqrok 19, surah al Baqarah, ayat 272-282

Ayat yang terkesan adalah ayat 276.

Kebenaran ayat:

  • Allah mengurangkan berkatNya dari harta yang terlibat dengan riba
  • Allah mengembangkan berkat bagi harta yang disedekahkan dan dizakatkan.
  • Allah tidak suka pada orang yang kekal kufur dan selalu melakukan dosa


Thoughts:

  • Ada sebab kenapa Allah tidak suka kita melibatkan diri dengan riba. Sudah pasti riba itu akan membawa banyak mudarat kepada manusia. Dan Allah susutkan kebaikan harta hasil riba - harta cepat habis dan ada masanya kita tak tahu pun ke mana dihabiskan harta tersebut.
  • Sedekah dan zakat adalah lebih baik dan Allah akan kembangkan berkat harta yang kita ada apabila kita keluarkan sedekah dan zakat. Dengan kata lain, Allah akan tambahkan rezeki 
  • Orang yang kekal terus buat dosa, langsung tidak terfikir untuk bertaubat, tidak akan mendapat redha Allah. "Allah tidak suka" itu adalah satu keadaan yang sangat celaka (maafkan kekasaran bahasa).


Choices:

  • Pilihan terletak di tangan kita, sama ada ingin meneruskan dengan riba atau putuskan terus. Tetapi, adalah lebih baik jika kita cuba sedaya upaya untuk lari dari riba. 


Behaviour:

  • Fahami riba betul-betul. Bagaimana situasi yang dikatakan terlibat dengan riba. Bila sudah faham, cuba jauhi. Dan itu yang sedang saya cuba lakukan. Semua pinjaman dahulu yang terlibat dengan riba sedang cuba diselesaikan, moga dipermudahkan urusan. Dan cuba sedaya upaya untuk tidak lagi membuat pinjaman yang terpalit dengan riba. Anak-anak juga sudah diberi pesanan. Jika boleh beli cash, beli cash aje. 
  • Dalami juga bab zakat. Sebab zakat ada pelbagai jenis. Kalau boleh, cuba keluarkan zakat terutama zakat pendapatan. 
  • Untuk sedekah, in sya Allah setiap pagi masukkan sedikit RM ke dalam tabung subuh. Saya diberitahu, jika kita bersedekah di waktu Subuh sebelum tibanya waktu syuruk, para malaikat akan turut mendoakan kita. Bila keluar rumah, kalau sempat singgah mana-mana surau, letak dalam tabung. Atau boleh juga letak dalam tabung dulu, akhir minggu atau akhir bulan, keluarkan dan berikan kepada sesiapa yang patut terima.  Banyak lagi details mengenai sedekah ni. Perlu dalami lagi.
  • Buat solat taubat selalu. Kerana kita manusia sentiasa berdosa. Kadang tanpa kita sedari. Tidak mahu lagi menjadi seperti mereka yang disebutkan di dalam ayat di atas. 


Feelings:

  • Rasa menyesal kerana galak melibatkan diri dengan riba suatu ketika dahulu. Terutama sekali berkenaan pinjaman. Yang tak perlu buat pinjaman pun, bila ditawarkan pihak bank, gatal je hati ni rasa tertarik dan terus terlibat. 


Afirmasi/Syukur:

  • Aku bersyukur kerana diberi peluang untuk membaiki keadaan dan alhamdulillah, Allah kurniakan rezeki untuk keluar dari jerat riba. 
  • Syukur alhamdulillah, Allah detikkan di dalam hati untuk melakukan solat taubat setiap hari. Semoga dapat istiqamah sehingga akhir hayat.
Wallahuallam bissawab. 

Tuesday, July 16, 2019

KEBAIKAN DAN KEMAAFAN

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Apps Al Quran
http://www.facebook.com/sariahawangsenik

Alhamdulilah. Agak lama juga untuk tulis entri baru dalam blog Circle Bidadari. Berdoa juga kepada Allah agar terus istiqamah dalam memahami dan menterjemahkan semua surah Al-Nisa mengikut pemahaman sendiri.
Antara apa yang saya faham dari surah An-Nisa ayat 149 adalah.

Kebenaran ayat:
Menurut dari apa yang difaham dari surah An-Nisa ayat  149 adalah apa sahaja kebaikan yang dilakukan secara sembunyi tidak digalakkan untuk untuk diwar-warkan kepada orang lain.
Dan cukup sahaja Allah yang maha mengetahui akan segala kebaikan tersebut.
Lebih lagi Allah suka jikalau umatnya memaafkan apa sahaja kesalahan orang lain terhadap kita, kerana kita hamba Allah bersifat tidak sempurna.

Apakah yang kita faham tentang ayat ini?
Antara lain Allah mengalakkan umatnya untuk lakukan seberapa banyak kebaikan. Akan tetapi janganlah bersikap riak sebaik sahaja melakukan satu kebaikan.
Dan Allah juga sangat suka kepada orang-orang yang senantiasa memaafkan dan meminta maaf dan biarlah satu kemaafkan itu dilakukan hanya kerana Allah yang maha esa.

Pilihan kita untuk kita :
Kita pilih untuk senantiasa memaafkan orang lain kerana mungkin satu masa nanti giliran kita pula untuk meminta maaf.
Lakukan seberapa banyak kebaikan akan tetapi janganlah disebabkan satu kebaikan kita akan menjadi riak.

Tindakbalas kita:
Lakukan kebaikan hanya kerana Allah dan memaafkan orang lain juga kerana Allah yang maha esa.

Perasaan kita bila membaca surah An-Nisa ini:
Risau jika kebaikan yang dilakukan boleh mencampakkan diri ke penjara riak.
Senantiasa memaafkan dan memohon maaf sesama sendiri dan kemaafan yang dilakukan hanyalah kerana Allah yang maha esa.

Syukur:
Ya Allah kau tetapkanlah hati kami untuk lakukan segala kebaikan hanya kerana Allah.
Ya Allah kau ringankan juga hati kami untuk saling memaafkan sesama insan yang lain.


Sekian
Sariah Awang Senik

Saturday, July 6, 2019

TAUBAT


Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Appa Al Quran
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Alhamdulillah. Hujan juga malam ini walau taklah lebat mana.
Setidak-tidaknya Allah makbul juga satu impian yang sangat besar ini.
Tak turun hujan selama hampir seminggu. Berfikir-fikir juga agaknya banyak sangat kekhilafan diri dan mungkin Allah sedang menguji benteng keimanan ini.

Terima kasih Ya Allah atas turunnya rahmatMu malam ini.

Sedang berusaha segigih yang mungkin menulis berdasar ayat-ayat Al Quran.
Biar membaca setiap bacaan hanya sekadar terjemahan ayat, namun sudah cukup menjentik hati ini secara tanpa sedar.
Berdoa juga agar dapat membaca dan khatam Al Quran dengan lancar.

Malam ini berkongsi manfaat tentang taubat dari ayat 17 surah An Nisa.
Apa yang saya faham melalui ayat ini ialah Allah memperkata tentang amalan bertaubat.
Dari penerangan ayat 17 surah An Nisa ini, telah Allah tegaskan bahawasanya Allah senantiasa menerima taubat hambanya.

Paling utama Allah menerima taubat orang yang berbuat kejahatan asbab dari kejahilan dan mereka segera bertaubat atas segala perbuatan jahat yang mereka telah lakukan.
Tak kira siapa pun hamba Allah tersebut, pintu taubat selalu terbuka bagi orang-orang yang benar-benar insaf akan segala perbuatan jahatnya.

Dengan bertaubat secara bersungguh-sungguhlah dapat mencegah hamba Allah tersebut dari terus mengulangi perbuatan jahat hamba Allah tersebut.
 Ingatlah Allah maha mengetahui akan segalanya termasuk segala apa yang terkandung dalam hati setiap umatnya.



Sekian
Sariah Awang Senik

Perkongsian ayat 262 dan 271, surah Al Baqarah (jurnal Al Quran)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Perkongsian dari maqrok 17 & 18, surah al Baqarah, ayat 253-271



Saya kongsikan dua maqrok sekaligus kerana hampir semua ayat dalam dua maqrok ini bercerita mengenai sedekah. 

Dan dua ayat yang memberi kesan kepada saya juga seperti berkaitan antara satu sama lain. 

Saya pasti kita semua sudah maklum bahawa bersedekah itu banyak kebaikannya. Dan ayat 261 ada menceritakan perihal bagaimana sedekah itu dilihat sangat baik dan apa ganjaran yang dijanjikan Allah pada mereka yang bersedekah. 

Dalam ayat 262, dinyatakan :
  • orang yang berbelanja harta di jalan (ugama) Allah - untuk tujuan mendekatkan diri kepada Allah. Contoh: sponsor rumah anak yatim atau tahfiz, bina masjid dan sebagainya 
  • tidak membangkit-bangkitkan pemberian - jika ada perselisihan faham, tidak mengungkit apa yang telah diberikan
  • tidak menyinggung atau menyakiti pihak yang diberi - memberi dengan ikhlas tanpa menyindir-nyindir (ada je orang yang macam ni kan? huhu)
  • maka mereka akan peroleh pahala,  perkara yang baik akan berlaku pada mereka, dan tidak berdukacita.  Sebab tu ada saranan kepada mereka yang sedang down atau sedih, keluar dan bersedekah lah, in sya Allah akan berkurang rasa sedih dan down tersebut. Wallahuallam.
Dalam ayat 271 pula:
  • menzahirkan sedekah supaya menjadi contoh adalah baik
  • tetapi menyembunyikannya adalah lebih baik - bimbang timbulnya rasa riak di hati, kan?
  • Allah akan menghapuskan sebahagian dari kesalahan kita
  • Allah Maha Mengetahui secara mendalam apa yang kita lakukan - Allah tahu apa dalam hati kita ketika melakukan sedekah tersebut. Kita boleh kata kita war-warkan pemberian untuk menjadi teladan atau supaya orang lain juga turut menyumbang, tetapi pastikan dalam hati kita betul-betul tiada perasaan riak atau yang seumpamanya, kerana Allah pasti mengetahuinya. 
Wallahuallam bissawab.




Friday, July 5, 2019

SURAH AN NISA, AYAT 1

Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Apps Al Quran
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Bismillahirrahmanirrahim.
Ya Allah kau kurniakanlah ilham untuk aku terjemahkan ayat 1 surah An Nisa mengikut kefahaman aku sendiri.
Semoga Allah permudahkan segalanya.
Aamiin Ya Allah.

Patutnya saya lebih istiqamah dalam usaha-usaha untuk memahami setiap ayat dalam surah-surah Al Quran. Jika dihayati dan faham secara terperinci banyak manfaat yang kita boleh dapat dari setiap surah dalam Al Quran ini.
Dan yang penting Al Quran adalah satu rujukan bagi segala masalah dalam apa jua permasalahan di dunia ini.

Baiklah, dari apa yang saya faham melalui ayat 1 surah An Nisa ini jelaslah segala hamba Allah, tak kira lelaki ataupun perempuan adalah asbab pertemuan Adam dan Hawa.
Allah telah menjadikan Adam sebagai suami dan Hawa sebagai seorang isteri.
Maka dari pertemuan dua jiwa inilah lahirlah keturunan yang berkembang biak sebagai seorang lelaki dan juga perempuan sehinggalah ke hari ini.

Maka disebabkan dengan pertemuan yang diatur oleh Allah inilah kita wajib bertaqwa kepada Allah kerana dengan izinNyalah kita ada segalanya hari ini. Ayah, ibu, abang, kakak dan juga adik-beradik maka semua disebabkan pertemuan Adam dan Hawa ini.

Selain itu Allah juga mengalakkan umatnya supaya menjaga dengan sebaik yang mungkin hubungan silaturrahim diantara sesama umat. Biar berbeza keturunan dan warna kulit namun semuanya dibawah payung agama yang satu iaitu agama suci Islam.
Janganlah kita berpecah belah hanya disebabkan ada perbezaan dimana-mana.

Ketahuilah Allah senantiasa mengawasi segala tindak tanduk kita sebagai umatnya tak kira dalam perkara kebaikan dan juga keburukan.

Melihat daripada sisi kehidupan sendiri melalui ayat 1 surah An Nisa ini , terfikir adakah sudah faham sebenar-benarnya satu hubungan silaturrahim sesama saudara seislam.
Adakah sudah berusaha segigih yang mungkin untuk berusaha menyatukan kembali satu hubungan yang makin renggang?

Kadangkala tersalah faham sedikit, berhari lamanya mendiamkan diri dan bermasam muka sesama rakan sendiri.
Semoga Allah melindungi hati ini dari terus terpengaruh dengan segala bisikan syaitan.
Ingatlah tak kira perkara kebaikan atau keburukan , Allah senantiasa mengawasi hamba-hambanya.

Biar apa pun dosa yang telah dilakukan oleh umatnya Allah tetap jua memaafkan hambanya.
Inikan pula hubungan silaturrahim antara satu sama yang lain.
Ya Allah ampunkan segala dosa-dosa kami dan seluruh umat Muhammad ini.


Sekian
Sariah Awang Senik

Tuesday, July 2, 2019

MEMPERTAHANKAN

 Teks : Sariah Awang Senik
Sumber : Koleksi Dari Apps Al Quran
http://www.facebook.com/sariahawangsenik


Alhamdulilah.
Bismillahirrahmanirrahim. Semoga entri tentang ayat 167 dari surah Al Imran ini bermanfaat buat semua. Syukur juga Allah permudahkan segalanya.
Menulis entri berdasarkan ayat-ayat suci bukanlah satu perkara yang mudah.
Harapannya dengan perkongsian yang tak seberapa ini dapatlah memberi manfaat buat yang sudi singgah membacanya.

Berdasarkan ayat 167 dari surah Al Imran jelaslah Allah menerangkan bahawa Allah mengalakkan umat-umatnya untuk berjuang berperang mempertahankan agama suci Islam.
Maka dengan sebab itulah Allah mengurniakan pahala buat mereka yang berjuang mempertahankannya.

Selain dari berjuang mempertahankan diri, keluarga serta harta benda, maka jikalau ditakdirkan terkorban dalam peperangan tersebut, maka Allah akan anugerahkan kematian syahid buat mereka yang terkorban.

Meskipun begitu masih ramai yang tidak mengetahui akan pahala mereka yang berjuang menentang semua musuh-musuh yang berusaha untuk mencemari agama suci Islam ini.
Allah maha mengetahui akan apa yang ada dalam setiap hati bergelar manusia.

Pandangan tentang diri sendiri.
Secara jujurnya belum berusaha dengan lebih gigih untuk mengelakkan agama Islam dicemari.

Teringat akan kisah yang berlaku didepan mata, betapa liciknya manusia yang beragama lain berusaha untuk menjatuhkan maruah agama Islam. Lebih parahnya mereka tidak segan silu mengedarkan risalah tentang kebaikan agama yang mereka anuti sekarang.
Liciknya mereka walau berbangsa lain namun mempunyai keupayaan untuj bertutur dalam bahasa yang lain.

Bagaikan satu tamparan yang maha hebat.
Terasa diri makin kecil dan tidak berupaya mempertahankan agama Islam dari terus dikecam sebagai satu ancaman.
Dengan usaha gigih mereka ini, tak mustahil ada diantara kalangan yang beragama Islam akan mudah terpengaruh dengan segala janji manis mereka.


Sekian
Sariah Awang Senik

Perkongsian ayat 243, surah Al Baqarah (jurnal)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.



Perkongsian dari maqrok 16, surah al Baqarah, ayat 243 - 252 (Jurnal al Quran).


Kita selalu dengar dan kita selalu dinasihatkan untuk memberi sedekah jika kita ingin rezeki yang banyak.  

Sedekah lah walaupun masa tu kita sendiri pun kesempitan, kerana dalam sedekah ada barakah.

Ya, Allah sudah pun menyebutnya dalam al Quran. Dan inilah antara ayatnya. 

Siapa yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas)?
Ikhlas itu penting.  Satu peringatan kepada diri saya sendiri. Sebab kadang-kadang tu, bila ada yang datang meminta, dalam hati ada rasa syak wasangka. "Dia ni betul ke atau tipu?" Allahuakbar.

Tindakan yang sepatutnya --> kalau memang niat nak sedekah, hilangkan syak wasangka tu. Dan terus set untuk ikhlaskan pemberian/sedekah kerana Allah Ta'ala. Semoga Allah menerima sedekah yang kita beri itu. 

Halus bahasa yang Allah beri pada kita iaitu memberi pinjaman. Itu pun kita susah nak buat ke? Huhuhuhu. Sentap sendirian. 

Allah janji juga jika kita beri dengan ikhlas, Allah akan melipatgandakan balasannya berganda-ganda banyaknya. 

Saya tengok penerangan mengenai bahasa Arab hari tu. Saya tak pandai bahasa Arab. Ustaz tersebut menyatakan perkataan "adh'aafan" tu ada banyak cara nak tulis. Ada yang guna huruf hamzah, ada yang guna huruf alif. Dalam ayat ini, huruf alif digunakan. Dan bila ada alif, bacaan akan dipanjangkan berbanding jika guna hamzah. Ini untuk menguatkan maksud berganda-ganda tu. Maknanya, berganda-ganda dari Allah memang tidak terhitung banyaknya. Subhanallah. 

Dan Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan pemberian rezeki - memang kalau bercerita bab rezeki ni banyak perkara menakjubkan, perkara pelik yang kita pernah alami, betul? Semuanya hikmah dari Allah. Kita memang tak tercapai akal lah kalau nak fahamkan semuanya. 

Apa-apa pun, akhir sekali kepada Allah jua lah kita semua akan dikembalikan. Matlamat hidup yang hakiki. 

Wallahuallam.